KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) — Dutch Lady Milk Industries Bhd bercadang menggunakan RM181.23 juta daripada RM200 juta hasil penjualan tanah dan bangunannya di Petaling Jaya untuk membiayai pembinaan kilang pembuatan dan kemudahan lain di Bandar Baru Enstek, Negeri Sembilan.
Syarikat tersebut, yang pada Mac telah memeterai perjanjian bersyarat dengan UEM Land Bhd untuk menjual hartanah di Petaling Jaya berkata ia akan membina kilang pembuatan dan kemudahan gudang, kemudahan sokongan dan pejabat di atas tiga bidang tanah pegangan kekal berkeluasan 13.2 hektar di Bandar Baru Enstek.
Dutch Lady akan menggunakan RM181.23 juta itu dalam tempoh 36 bulan, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Syarikat itu telah membeli tiga bidang tanah tersebut pada 17 Dis, 2020.
Mengenai baki daripada hasil itu, Dutch Lady berkata RM17.27 juta akan digunakan untuk membayar anggaran perbelanjaan berkaitan cadangan penjualan itu, manakala RM1.5 juta lagi digunakan untuk membayar deposit jaminan berkaitan dengan penyewaan hartanah di Petaling Jaya.
Dutch Lady menyewa hartanah itu selama dua tahun dengan sewa bulanan sebanyak RM500,000 sebulan susulan pemeteraian perjanjian untuk menjualnya kepada UEM Land. Syarikat itu juga mempunyai pilihan untuk memperbaharui sewa bagi dua penggal lagi dengan tempoh enam bulan sekali.
— BERNAMA




