KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) — Syarikat perkhidmatan pembinaan Tuju Setia Bhd telah diberikan kontrak bernilai RM189 juta untuk projek pembinaan menara di Seri Kembangan, Selangor.
Dianugerahkan oleh Enso Development Sdn Bhd, sebuah syarikat usahasama antara Beverly Group (Q) Sdn Bhd dan Surbana Jurong Capital (Enso Q) Pte Ltd, kerja-kerja pembinaan utama di bawah Projek Pakej 1 One Equine akan dijalankan oleh anak syarikat milik penuh Tuju Setia, Pembinaan Tuju Setia Sdn Bhd.
Projek tersebut merangkumi blok 35 tingkat yang mengandungi 865 unit pejabat kecil/pejabat rumah (SoHo) serta blok 33 tingkat dengan 526 unit pangsapuri berservis, fasiliti dan kemudahan berkaitan termasuk tempat letak kereta podium bertingkat.
Pembangunan di Seri Kembangan berada dalam lingkaran pembangunan yang akan datang dan terletak berhampiran Cyberjaya serta Putrajaya, kata Tuju Setia dalam satu kenyataan hari ini.
”Dengan kejayaan ini, tempahan dalam tangan kami kini berada pada RM1.14 bilion berbanding RM953.1 juta sebelumnya.
“Dalam usaha untuk menjadi pembina pilihan, kami berharap dapat mengekalkan momentum ini dan terus mendapatkan projek agar kedudukan kami terus dapat dikukuhkan dalam industri pembinaan,” kata Pengarah Urusan, Wee Eng Kong.
Pembinaannya dijadualkan bermula menjelang Jun 2021 dan dijangka mengambil masa 38 bulan untuk disiapkan.
Menurut syarikat itu, projek tersebut dijangka menyumbang secara positif ke arah pendapatan kumpulan sehingga tahun kewangan berakhir 31 Dis 2024.
Selain One Equine, projek Tuju Setia sedia ada terdiri daripada Mutiara Central Office Suites (Cheras), Riana Dutamas – Fasa 2 (Segambut), The Pulse Residence (Bandar Puteri Puchong), PPAM Sofiya Residensi (Desa ParkCity), Emerald Hills – Fasa 3 dan 4 (Cheras), TUAI Residence (Setia Alam), 121 Residences (Petaling Jaya) serta Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Kaja



