KUALA LUMPUR, 17 Mei (Bernama) — Bursa Malaysia ditutup kebanyakannya rendah hari ini dengan indeks utamanya naik 0.06 peratus apabila sentimen pasaran menjadi berhati-hati pada Isnin.
Petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.94 mata kepada 1,583.46 berbanding paras penutup 1,582.52 pada Rabu minggu lepas.
Petunjuk pasaran itu dibuka 5.03 mata lebih rendah pada paras terendah hariannya pada 1,577.49 tetapi turut mencatatkan paras tertinggi harian pada 1,592.57.
Keseluruhan suasana pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 1,061 berbanding 195, manakala 301 kaunter tidak berubah, 628 tidak diniagakan dan lima yang lain digantung.
Dagangan cergas dengan jumlah dagangan melonjak kepada 6.60 bilion unit bernilai RM3.80 bilion daripada 2.59 bilion unit bernilai RM1.92 bilion pada Rabu minggu lepas.
Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim berkata keseluruhan sentimen pasaran terjejas akibat daripada kemungkinan perintah kawalan pergerakan (PKP) berskala penuh dikenakan di Selangor sekiranya jangkitan pandemik COVID-19 tidak dapat dikekang.
“Dalam kalangan konstituen 30 FBM KLCI, Genting Bhd, Genting Malaysia Bhd dan Supermax merupakan antara saham yang menyeret turun Bursa Malaysia dengan setiap satunya mencatatkan penurunan lebih daripada 2.0 peratus,” katanya kepada Bernama.
Genting Bhd turun 11 sen kepada RM4.69, Genting Malaysia susut enam sen kepada RM2.71 dan Supermax berkurangan 13 sen kepada RM4.64.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba hari ini berkata Selangor mungkin akan dikenakan PKP berskala penuh seperti yang dilaksanakan pada Mac tahun lepas sekiranya kes COVID-19 di negeri itu terus meningkat.
Pada Isnin, Malaysia mencatatkan 4,446 kes baharu COVID-19 yang mana Selangor mencatatkan kes tertinggi sebanyak 1,650.
Saham wajaran tinggi lain, Maybank meningkat sembilan sen kepada RM8.30, Public Bank naik 12 sen kepada RM4.26, TNB menokok empat sen kepada RM9.91, CIMB menokok tujuh sen kepada RM4.25, Petronas Chemicals jatuh 15 sen kepada RM7.95, IHH Healthcare susut 13 sen kepada RM5.32 dan Top Glove turun enam sen kepada RM5.29.
Dalam kalangan kaunter cergas, Kanger International menokok satu sen kepada 8.5 sen, UCrest meningkat 7.5 sen kepada 37.5 sen, MTouche dan Niche Capital Emas naik empat sen setiap satu masing-masing kepada 32.5 sen dan 26.5 sen, manakala Focus Dynamics turun satu sen kepada lima sen dan Hiap Teck berkurangan sembilan sen kepada 55 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 51.82 mata kepada 11,511.22, Indeks FBMT 100 susut 28.69 mata kepada 11,205.28 dan FBM ACE jatuh 303.98 mata kepada 7,642.18.
Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 132.42 mata kepada 12,707.98 dan FBM 70 jatuh 175.69 mata kepada 14,800.15.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 129.26 mata kepada 14,979.80, Indeks Perladangan turun 127.03 mata kepada 6,946.75, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 4.59 mata kepada 192.65.
Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 3.79 bilion saham bernilai RM3.17 bilion daripada 1.54 bilion saham bernilai RM1.65 bilion pada Rabu minggu lepas.
Jumlah dagangan waran naik kepada 313.06 juta unit bernilai RM31.81 juta daripada 189.46 juta unit bernilai RM21.27 juta.
Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 2.50 bilion saham bernilai RM600.33 juta daripada 863.09 juta saham bernilai RM257.38 juta sebelumnya.
Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 796.72 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (1.31 bilion), pembinaan (128.55 juta), teknologi (392.44 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (99.57 juta), hartanah (371.89 juta), perladangan (101.64 juta), REITs (7.68 juta), dana tertutup (40,000), tenaga (256.77 juta), penjagaan kesihatan (74.88 juta), telekomunikasi dan media (74.26 juta), pengangkutan dan logistik (149.37 juta) dan utiliti (29.69 juta).
Bursa Malaysia dan anak syarikatnya ditutup pada Khamis dan Jumaat minggu lepas sempena cuti umum Hari Raya Aidilfitri.
— BERNAMA

