KUALA LUMPUR, 3 Mei (Bernama) — Bursa Malaysia ditutup rendah pada Isnin berikutan aktiviti pengambilan untung berterusan di hampir semua kaunter berwajaran tinggi, didahului dengan Top Glove, IHH dan Hartalega.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 10.92 mata kepada 1,590.73 daripada 1,601.65 ketika ditutup pada Jumaat minggu lepas.
Indeks itu dibuka 0.44 mata lebih tinggi kepada 1,602.09 — paras tertinggi hari ini — dan bergerak serendah 1,588.89 bagi dagangan Isnin.
Lingkungan pasaran kekal negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 912 berbanding 301 manakala 350 kaunter tidak berubah, 590 kaunter tidak diniagakan dan lima yang lain digantung.
Jumlah dagangan susut kepada 6.68 bilion saham bernilai RM4.26 bilion daripada 6.75 bilion saham bernilai RM4.61 bilion pada Jumaat lepas.
Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata bursa tempatan hari ini dipengaruhi oleh kaunter sarung tangan iaitu Top Glove, Hartalega dan Supermax yang semuanya susut lebih dua peratus.
“268,000 slot untuk program vaksinasi sukarela bagi vaksin AstraZeneca telah ditempah sepenuhnya pada Ahad, menunjukkan tiada keraguan untuk mendapatkan suntikan vaksin itu.
“Justeru, sentimen terhadap peserta sarung tangan terjejas susulan respons ke atas program vaksinasi sukarela memberikan gambaran bahawa permintaan bagi penggunaan sarung tangan akan berkurangan selepas program vaksinasi,” katanya kepada Bernama.
Selain itu, sekatan perjalanan peringkat negara di India yang bertujuan mengekang jangkitan telah menyebabkan jualan bahan api menyusut di negara pengguna ketiga terbesar dunia itu pada April, sekali gus menjejaskan keyakinan terhadap pemulihan kukuh penggunaan pada separuh kedua tahun ini, katanya.
Ketua Penyelidikan Rakuten Trade Sdn Bhd, Kenny Yee memberitahu Bernama prestasi hari ini dipengaruhi terutama oleh kekurangan pemangkin baharu selain pasaran serantau yang tidak memberangsangkan.
“Pelabur juga bimbang Wall Street mungkin mengalami pembetulan setelah mencatatkan prestasi kukuh pada Jumaat lepas.
“Bagi FBM KLCI, kami menjangkakan ia merekodkan peningkatan semula dan bergerak di antara 1.595 dengan 1.610 mata,” katanya.
Di peringkat rantau, Indeks Straits Times Singapura turun 1.04 peratus kepada 3,184.94; Kospi Korea Selatan susut 0.66 peratus kepada 3,127.20 dan Hang Seng Hong Kong kurang 1.28 peratus kepada 28,357.54.
Bagi kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank naik empat sen kepada RM8.27, Public Bank turun dua sen kepada RM4.13 dan Top Glove susut 17 sen kepada RM5.48.
Antara saham aktif, LKL menokok 4.5 sen kepada 38.5 sen, Hiap Teck menambah tiga sen kepada 66.5 sen sementara Priceworth kurang satu sen kepada 1.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 90.81 mata kepada 11,707.48; Indeks FBM Emas Syariah turun 124.52 mata kepada 13,147.98; Indeks FBMT 100 kurang 89.32 mata kepada 11,360.84; FBM 70 merosot 164.90 mata kepada 15,411.24 dan FBM ACE menguncup 135.41 mata kepada 8,710.61.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri turun 1.42 mata kepada 197.94, Indeks Perladangan menambah 17.56 mata kepada 6,917.25 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan kurang 23.09 mata kepada 14,847.16.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 3.94 bilion saham bernilai RM3.19 bilion daripada 3.85 bilion saham bernilai RM3.65 bilion pada Jumaat lepas.
Jumlah dagangan waran turun kepada 338.94 juta unit bernilai RM39.42 juta daripada 392.21 juta unit bernilai RM43.61 juta.
Jumlah dagangan di Pasaran ACE pula sebanyak 2.41 bilion saham bernilai RM1.03 bilion berbanding dengan 2.50 bilion saham bernilai RM922.66 juta.
Barangan dan perkhidmatan pengguna menyumbang 473.58 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, barangan dan perkhidmatan industri (1.76 bilion), pembinaan (145.51 juta), teknologi (382.52 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (50.86 juta), hartanah (378.78 juta), perladangan (114.99 juta), REIT (6.38 juta), dana tertutup (2,000), tenaga (169.52 juta), penjagaan kesihatan (122.73 juta), telekomunikasi dan media (92.31 juta), pengangkutan dan logistik (213.94 juta) serta utiliti (23.51 juta).
— BERNAMA

