KUALA LUMPUR, 20 April (Bernama) — Indeks utama Bursa Malaysia ditutup tinggi pada petang urus niaga Selasa, dirangsang oleh kegiatan membeli semasa harga saham murah selepas pasaran menyusut semalam.
Pada jam 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berakhir pada paras tertinggi seharian 1,607.57, meningkat 7.28 mata berbanding 1,600.29 ketika ditutup semalam.
Petunjuk pasaran itu yang dibuka 0.14 mata lebih tinggi, berlegar antara 1,591.83 dan 1,607.57 sepanjang sesi dagangan hari ini.
Pergerakan harga keseluruhan pasaran agak negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung 575 berbalas 506 sementara 413 kaunter tidak berubah, 672 tidak diniagakan dan tujuh yang lain digantung.
Jumlah dagangan mengukuh kepada 8.16 bilion saham bernilai RM4.08 bilion daripada 7.47 bilion saham bernilai RM4.10 bilion pada Isnin.
Ahli ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim berkata pasaran bertambah baik walaupun bursa serantau Asia yang lain memperlihatkan prestasi bercampur-campur ketika pelabur cuba menyerap langkah Bank Indonesia untuk mengurangkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar 2020 negara itu dan rekod kematian harian COVID-19 di India.
Bank pusat republik itu hari ini mengumumkan ia akan mengekalkan kadar faedah dan mengunjurkan ekonomi negara berkembang pada 4.1 peratus hingga 5.1 peratus tahun ini daripada 4.3 peratus 5.3 peratus sebelumnya.
“Indeks pengangkutan dan logistik mencatatkan keuntungan terbesar dengan 1.8 peratus sementara teknologi paling rugi selepas menyusut satu peratus,” kata Adam kepada Bernama.
Sementara itu, kebanyakan saham berwajaran tinggi kembali mendapat perhatian dengan hanya enam kaunter berada dalam zon merah sementara para pelabur terus bertumpu pada kaunter-kaunter yang baru-baru ini menyusut teruk termasuk kewangan, tenaga, perladangan, telekomunikasi, pengangkutan dan pembinaan.
Di pasaran tempatan, Axiata meningkat 21 sen pada RM4.00, Genting mengembang 17 sen kepada RM4.93, MISC menambah 12 sen kepada RM6.80 dan Genting Malaysia lebih tinggi sebanyak sembilan sen kepada RM2.93.
Maybank menokok tiga sen kepada RM8.31, CIMB lima sen lebih tinggi pada RM4.29, HLFG menambah 14 sen kepada RM16.90 dan Digi untung tiga sen kepada RM4.25.
Sementara itu, Hartalega turun 17 sen kepada RM9.87, Top Glove enam sen lebih rendah pada RM5.40 dan Supermax menyusut empat sen kepada RM5.40.
Dalam kalangan kaunter aktif, Ucrest naik 16 sen kepada 59.5 sen, Key Asic menokok tiga sen kepada 20.5 sen dan Censof menambah 10 sen kepada 48 sen.
Bursa Malaysia hari ini mengeluarkan pertanyaan aktiviti luara biasa (UMA) terhadap Transocean berkaitan kenaikan mendadak dalam harga dan jumlah sahamnya baru-baru ini.
Pada penutupan, kaunternya melonjak 29 peratus atau 45 sen kepada RM1.98 dengan 878,700 saham diniagakan.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas menambah 37.93 mata kepada 11,825.13, FBMT 100 meningkat 41.47 mata kepada 11,486.55 dan FBM 70 menokok 15.83 mata kepada 15,602.92.
FBM Emas Syariah naik 21.15 mata kepada 13,232.08 dan FBM ACE meningkat 22.48 mata kepada 8,592.66.
Mengikut sektor, Indeks Perladangan mengembang 13.80 mata kepada 6,880.03, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 65.65 mata kepada 15,093.15 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri 1.12 mata lebih lemah pada 195.08.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat pada 4.42 bilion saham bernilai RM2.81 bilion berbanding 4.20 bilion saham bernilai RM3.12 bilion pada hari Isnin.
Perolehan waran menyusut kepada 307.88 juta unit bernilai RM36.56 juta daripada 362.24 juta unit bernilai RM50.34 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 3.44 bilion saham bernilai RM1.23 bilion daripada 2.90 bilion saham bernilai RM929.69 juta.
Produk dan perkhidmatan pengguna merangkumi 776.06 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan industri (804.98 juta), pembinaan (229.85 juta), teknologi (1.35 bilion), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (55.67 juta), hartanah (346.71 juta), perladangan (22.09 juta), REIT (5.87 juta), dana tertutup (9,000), tenaga (367.92 juta), penjagaan kesihatan (69.88 juta), telekomunikasi dan media (74.61 juta), pengangkutan dan logistik (278.91 juta) dan utiliti (27.35 juta).
– BERNAMA

