KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) — Keuntungan awal yang dicatatkan oleh dagangan di Bursa Malaysia tidak bertahan lama dan bursa tempatan mengakhiri sesi pagi lebih rendah di tengah-tengah prestasi bercampur-campur pasaran serantau.
Kegiatan penjualan di pasaran kebanyakannya diihat di kaunter berwajaran tinggi, didahului oleh Public Bank.
Pada rehat tengah hari, indeks penanda aras FBM KLCI menyusut 1.9 mata kepada 1,595.81, berbanding 1,597.71 pada penutupan urus niaga petang Selasa.
Indeks utama itu dibuka 2.48 mata lebih tinggi pagi ini pada 1,600.19 dan bergerak antara 1,594.81 dan 1,601.37 pada sepanjang sesi urus niaga.
Public Bank mengheret indeks komposit turun 1.10 mata selepas jatuh tiga sen kepada RM4.20 dengan 3.66 juta saham bertukar tangan.
Genting adalah yang paling rugi dalam kalangan 30 indeks konstituen, menyusut 1.17 peratus kepada RM5.07 sementara Hap Seng pula merekodkan perolehan terbanyak dengan peningkatan 1.04 peratus kepada RM8.24.
Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, bursa tempatan mungkin terus bergerak secara mendatar berikutan kekurangan pemangkin baharu untuk hala tuju seterusnya.
“Indeks utama mungkin bergerak stabil dan sekiranya ia melepasi paras 1,600, paras halangan ditetapkan antara 1,615 dan 1,635, sementara sokongan pada 1,575,” katanya.
Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung dengan 489 berbalas 433 sementara 862 kaunter tidak berubah, 395 tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.
Jumlah dagangan ialah 3.49 bilion saham bernilai RM1.56 bilion.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank dan IHH Healthcare masing-masing susut satu sen kepada RM8.31 dan RM5.38, Public Bank turun tiga sen kepada RM4.20, sementara Tenaga merosot empat sen kepada RM10.16.
Petronas Chemicals menambah dua sen kepada RM7.90, CIMB naik tiga sen kepada RM4.26 dan Top Glove menokok empat sen kepada RM5.12.
Bagi kaunter aktif, Minda turun satu sen kepada 16.5 sen, sementara Lambo dan Dagang Nexchange masing-masing naik setengah sen kepada 2.5 sen dan 82.5 sen manakala Dataprep meningkat 29.5 sen kepada RM1.05.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 5.6 mata pada 11,810.16 dan FBMT 100 kerugian 9.79 mata kepada 11,458.09.
FBM Emas Syariah menokok 3.39 mata kepada 13,171.41, FBM 70 naik 1.37 mata kepada 15,778.54 dan FBM ACE lebih tinggi 99.74 mata kepada 9,548.61.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.87 mata kepada 194.63, Indeks Perladangan turun 5.69 mata kepada 6,938.33 sementara Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 49.23 mata kepada 1,108.35.
— BERNAMA

