KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) — Kenaikan secara meluas terus meningkatkan Bursa Malaysia, disokong oleh sentimen yang lebih baik berikutan pengisytiharan darurat di seluruh negara membantu menolak situasi yang tidak pasti.
Pada 12.30 tengah hari, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 16.86 mata atau 1.1 peratus kepada 1,628.90 daripada 1,612.04 semasa ditutup semalam.
Indeks dibuka tinggi 5.64 mata kepada 1,617.68 dan berada antara 1,617.68 dan 1,636.37.
Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 821 berbanding 342, manakala 340 kaunter tidak berubah, 596 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 4.23 bilion unit bernilai RM2.52 bilion.
Seorang penganalisis berkata pengisytiharan darurat, ketika isu pandemik COVID-19 dan politik tidak stabil, merupakan langkah yang tepat pada masanya untuk memastikan kelangsungan hidup rakyat dan ekonomi.
“Langkah itu membantu meningkatkan sentimen pasaran. Selain itu, pelabur dilihat menolak kebimbangan mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) dan terus memberi tumpuan kepada saham berharga rendah,” katanya.
Semalam, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat yang dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung wabak COVID-19 di negara ini.
Sementara itu, pelaksanaan semula PKP di lima negeri dan Wilayah Persekutuan yang bermula hari ini akan berterusan hingga 26 Jan.
Di peringkat serantau, pasaran ekuiti positif susulan keyakinan mengenai rangsangan fiskal tambahan Amerika Syarikat.
Sehubungan itu, penganalisis berkata peserta pasaran terus memantau perkembangan politik di Washington.
Speaker Dewan Perwakilan Nancy Pelosi dilaporkan berkata dewan yang dikuasai parti Demokrat akan mengundi hari ini untuk memecat Presiden Donald Trump.
Kaunter perbankan mendahului dalam kalangan saham wajaran tinggi dengan Public Bank naik RM1.08 kepada RM21.16 dan Maybank menambah 18 sen kepada RM8.18.
TNB naik lapan sen kepada RM10.20, CIMB meningkat sembilan sen kepada RM4.01 dan RHB menambah 10 sen kepada RM5.43.
Daripada saham cergas, Metronic naik satu sen kepada 11 sen, PNE menambah sembilan sen kepada 71.5 sen dan Yong Tai meningkat satu sen kepada 30.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 138.23 mata kepada 11,690.29, Indeks FBMT 100 meningkat 130.71 mata kepada 11,430.95 dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 57.97 mata kepada 13,217.80.
FBM 70 naik 216.84 mata kepada 14,726.43 dan FBM ACE meningkat 115.99 mata kepada 10,619.48.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 371.15 mata kepada 14,917.66, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 1.80 mata kepada 174.76 dan Indeks Perladangan susut 12.15 mata kepada 7,450,29.
— BERNAMA